GURUN 12 Dis. - Menurut catatan sejarah, Nabi Muhammad SAW mempunyai beberapa peralatan perang sendiri, antaranya pedang Al-Ma‘tsur yang merupakan pedang diwarisi daripada ayahanda baginda, Abdullah Abdul Mutalib.
Pedang itu kini tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki dan bagi umat Islam, peluang untuk melihat pedang itu di depan mata adalah satu perkara yang amat indah dalam kehidupan sebagai seorang muslim.
Namun, malangnya tidak semua umat Islam berpeluang untuk menjejakkan kaki ke muzium itu bagi melihat sendiri pedang yang pernah digunakan oleh Rasulullah itu.
Bagi memenuhi impian umat Islam negara ini, khususnya di kawasan utara tanah air yang ingin melihat pedang-pedang Rasulullah, satu pameran bertajuk Pameran Pedang Nabi Muhammad SAW, Khazanah Tamadun Islam dan Koleksi Sejarah Seni Silat Pusaka Gayong diadakan di Dewan Sri Zaleha, Naza, Gurun di sini bermula 5 Disember dan berakhir 19 Disember ini.
Dengan harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, pengunjung dapat melihat pedang al-Ma’tsur, pedang al-Qadib, pedang al-Battar, pedang Ja’far Ath-Thayyar,pedang Abu Bakar As-Siddiq, pedang Saidina Umar al-Khattab, pedang Uthman Affan, pedang Zul Fiqar, pedang al-Hatf, pedang Khalid Wali dan pelbagai peralatan perang yang lain.
Walaupun hanya replika pedang, 99 peratus bentuk pedang-pedang yang dibawakan khas dari Muzium Topkapi, Istanbul adalah sama dengan bentuk pedang sebenar.
Pengerusi pameran itu, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, pameran yang julung kali diadakan itu adalah hasil usahasama Yayasan Restu dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSGM).
“Pameran ini amat bermakna, lebih-lebih lagi kepada seluruh penduduk kampung di negeri kawasan utara untuk mempelajari dan menyelami sejarah-sejarah ketamadunan Islam.
“Kita juga mengenengahkan keindahan dan kehalusan seni-seni Islam serta ada-adat Melayu yang ternyata memiliki keistimewaan serta identiti yang tersendiri supaya tidak luput ditelan zaman,” ujar beliau.
Selain himpunan pedang Nabi Muhamaad SAW dan para sahabat baginda, pengunjung juga dapat melihat pelbagai Mushaf al-Quran yang telah diterbitkan dalam bentuk buku dan multimedia dipamerkan pada pameran tersebut.
Azaliza Mohammad Zainal Abidin selaku Ketua Jabatan Perwarnaan Restu Design berkata, pada pameran kali ini, Yayasan Restu membawa koleksi al-Quran Mushaf Acheh yang berusia ratusan tahun untuk dipamerkan kepada pengunjung.
“Al-Quran Mushaf Acheh ini dihadiahkan kepada Yayasan Restu sebelum berlaku kejadian tsunami dan selain al-Quran Mushaf Acheh ini pengunjung juga boleh melihat pelbagai Mushaf al-Quran yang lain seperti al-Quran Mushaf Kedah, al-Quran Mushaf Singapura, al-Quran Mushaf Nigeria dan sebagainya.
“Pihak kami juga membawa penulis khat di pameran ini bagi menunjukkan bagaimana proses penghasilan al-Quran kepada pengunjung,” katanya.
Tambahnya, pada pameran ini juga pelbagai karya kaligrafi juga dipamerkan kepada pengunjung bagi memastikan mereka melihat sendiri keindahan seni halus dalam Islam.
“Terdapat karya kaligrafi yang menggunakan kertas daripada al-Quran lama kerana kita tidak mahu buang kertas al-Quran itu di merata-rata tempat dan ada juga karya kaligrafi yang menggunakan warna daripada alam semulajadi,” jelasnya.
Sementara itu seorang pengunjung pameran itu, Saadan Mat, 50 berkata, kunjungannya ke pameran tersebut menimbulkan rasa kagum dengan kehebatan Nabi Muhamad SAW dan para sahabat baginda.
“Melihat pedang sahaja dapat membuatkan kita rasa kagum serta terharu dan saya rasa pameran sebegini perlu diadakan di tempat-tempat lain.
“Selain melihat pedang kita juga dapat melihat pelbagai Mushaf al-Quran untuk menambah ilmu mengenai al-Quran,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Amir Azuddin Azman, 13 berkata, dia yang tinggal di Parit Buntar, Perak datang ke pameran ini bersama keluarganya bagi melihat kehebatan pedang Nabi Muhammad SAW.
“Saya puas hati apabila dapat melihat pedang tersebut walaupun hanya replika sahaja dan ini adalah pameran yang perlu sentiasa diadakan untuk menimbulkan keinsafan di kalangan untuk umat Islam,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment